Pencetus teknologi vakum robotik ultra pintar melancarkan satu produk baharu yang diberi nama Roborock S8 di Malaysia.
Syarikat yang berpengkalan di China itu melancarkan barisan produk kelimanya di Malaysia dan percaya bakal meningkatkan lagi tawaran di pasaran.
Naib Presiden Jabatan Jualan Luar Negara Roborock, Elvis Wang berkata aspirasi pihaknya adalah untuk memudahkan pengguna.
Katanya, produk ini akan membantu mengurangkan masa yang diperlukan untuk mencuci kediaman, sekaligus memberikan mereka lebih banyak masa untuk melakukan tugasan lain.
“Dengan pengenalan siri S8, yang merupakan satu lagi produk yang membawa revolusi terkini daripada Roborock, sudah pasti akan menawarkan lebih banyak fungsi dan keupayaan kepada pengguna.
“Saya tidak ragu-ragu bahawa kami boleh menawarkan produk yang mampu bersaing dengan jenama antarabangsa
yang lain,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Asia Pasifik Roborock, Joan Hu berkata, pihaknya yakin dengan perkembangan pasaran produk mereka di Malaysia.
Hal ini kerana katanya, permintaan terhadap produk tersebut tetap ada dan memberangsangkan.
“Kami berterima kasih kepada rakan strategik pemasaran kami seperti Lazada, Shopee dan TikTok kerana mereka merupakan platform e-dagang yang utama yang memberi peluang kepada kami untuk mengembangkan jualan kami dengan pesat.
Dan pada tahun ini kami merancang untuk membuka premis fizikal kami yang tersendiri bagi menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih lengkap buat pelanggan.
Harapan kami adalah untuk mengukuhkan strategi perniagaan utama sebagai peluang untuk terus meneroka pasaran Malaysia,” katanya.