Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal sebagai ‘poster boy’ dan akan menerajui Kedah sekiranya beliau dan PERIKATAN NASIONAL (PN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, malah menteri besar sekarang juga menjadi faktor penting kemenangan PN terutama di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
‘Maka tidak hairanlah ‘character assassination’ (pembunuhan watak) cuba dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) terhadapnya (Sanusi),” ujar beliau pada kenyataan hari ini.
Sungguhpun begitu tambah Ahmad PH sebenarnya tiada modal atau isu yang kukuh terutama untuk menjatuhkan Menteri Besar Kedah.
Katanya lagi pelbagai perkara cuba dimainkan PH untuk menjatuhkan PN terutama selepas PRU15 termasuk tekanan politik kerajaan persekutuan PN-BN terhadap negeri itu.
Hal itu berikutan PH menyedari PN berjaya mendapat sokongan serta dukungan tinggi khususnya daripada pengundi Melayu.
“Tekanan politik yang dihempapkan ke atas Kedah menunjukkan pemimpin kerajaan persekutuan membelakangi semangat Madani yang sebenar.
“Malah sikap federalisme yang tempang itu mengundurkan negara ke era politik lapuk,” tegas Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Justeru kata beliau kepimpinan Sanusi dan kerajaan negeri perlu dipertahankan dan sebarang usaha pembangunan negeri itu termasuk ‘The Greater Kedah’ yang menjadi Pelan Pembangunan Kedah 2035 diyakini berjaya direalisasikan. – HARAKAHDAILY