Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) Sudan bersetuju mengumumkan gencatan senjata selama 72 jam atas dasar kemanusiaan, berkuat kuasa 6 pagi (waktu tempatan) hari ini.
RSF menawarkan gencatan senjata selama enam hari dengan tentera Sudan.
“Gencatan senjata ini bertepatan dengan perayaan Aidilfitri yang penuh keberkatan… untuk membuka koridor kemanusiaan dengan memindahkan rakyat dan memberi peluang untuk menyambut hari raya bersama keluarga,” kata RSF dalam kenyataan.
RSF berkata, tindakan itu perlu dalam mempertahankan diri untuk menangkis apa yang disifatkannya sebagai cubaan rampasan kuasa sambil menambah mereka komited untuk “gencatan senjata sepenuhnya” dalam tempoh itu.
Tiada komen segera daripada tentera Sudan.
Lebih 330 orang terbunuh setakat ini dalam perebutan kuasa yang tercetus hujung minggu lalu antara dua jeneral tentera Sudan yang pernah bersekutu sebelum ini.
Pertempuran paling sengit antara tentera dan RSF berlaku dalam dan sekitar ibu kota Khartoum, salah satu kawasan bandar terbesar di Afrika dan di Darfur yang masih berbekas dengan konflik panjang berakhir tiga tahun lalu. -Reuters