Penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin mendapat hadiah bermakna menjelang Aidilfitri esok apabila berjaya mencetak namanya sebagai penjaring di Piala Iceland malam tadi.
Luqman meletakkan namanya sebagai penjaring apabila meledak gol pertamanya bersama Njardvik FC untuk membantu pasukan itu membelasah KFA 4-1 dalam perlawanan pusingan 32 Piala Iceland.
Dia membuktikan kemampuannya pada penampilan kedua selepas diletakkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Augnablik dalam kejohanan sama pada 8 April lalu.
Biarpun dimasukkan sebagai pemain gantian, pemain yang dipinjamkan daripada kelab Belgium, KV Kortrijk, dilihat tidak kekok bersama rakan pasukan sebelum merobek gol lawan pada waktu kecederaan.
Dalam aksi pramusim menentang Haukar FC bulan lalu, Luqman berjaya meledak dua gol selepas turut disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Sebagai rekod, Luqman Hakim, 21, menandatangani kontrak lima tahun bersama Kortrijk pada 20 September 2019 dan berhasil melakukan dua penampilan bersama skuad senior pasukan itu.
Dia kemudian memilih untuk menyertai kelab liga divisyen dua Iceland, Njardvik, pada awal Februari lalu untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan di peringkat senior.