RUMAH Terbuka Madani bersama Perdana Menteri di 6 buah negeri yang bakal berlangsungnya PRU Negeri adalah bukti Perdana Menteri ke-10 (PMX) amat terdesak untuk berhadapan dengan gelombang penolakan rakyat ke atas mereka.
Di mana maruah PMX selaku Perdana Menteri bagi keseluruhan rakyat di semua negeri dalam Malaysia? Kenapa hanya memilih enam negeri yang bakal berdepan pilihan raya sahaja sebagai tapak meraih sokongan rakyat? Bagaimana dengan negeri lain?
Adakah PMX serius mahu menjadi Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia atau tidak sabar untuk hilang jawatan dan hanya memimpin kerja-kerja politik bagi PH-BN dalam PRU Negeri akan datang ini?
Kami menyokong penuh kenyataan Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa program ini adalah dianggap sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.
Program ini seperti mana kebiasaannya sifat Kerajaan Madani PMX adalah bertentangan dengan kata-kata mereka iaitu mahu melaksanakan dasar penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan.
Mana lebih jimat: satu atau enam? Di mana pakar formula? Apakah sudah segan silu bermain angka?
Mengapa PMX tidak boleh belajar dengan PAS yang mandiri dengan premis dan dana yang diusahakan oleh ahli parti sendiri dalam usaha-usaha yang bersifat survival politik seperti ini?
Sebagai sebuah parti yang bermaruah dan berintegriti, PAS seperti tahun-tahun sebelum ini akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1444H di Kompleks PAS Negeri Kedah bagi tujuan menyantuni para penyokong dan pendukung PAS.
Begitu juga sifatnya penganjuran Rumah Terbuka PAS bagi peringkat negeri dan kawasan. Kesemuanya adalah 100 peratus menggunakan dana yang parti ada.
Nasihat kami kepada PMX, bertaubatlah daripada sesuka hati menggunakan jentera kerajaan demi kepentingan politik yang sempit. Jangan diteruskan budaya politik yang jijik dan terkebelakang seperti ini.
Kami percaya rakyat akan sentiasa memerhati dan menilai sikap PMX yang dilihat hilang prinsip dan sentiasa mengkhianati perjuangan reformasi selama ini.
Pesan kami kepada rakyat di luar sana, marilah kita lakukan perubahan khususnya dalam PRU Negeri akan datang. Kita berikan pengajaran secukupnya kepada PH-BN yang merosakkan negara kita pada hari ini.
Sekian.
ZURK AHMAD
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan
PAS Pusat – HARAKAHDAILY