LARUT | Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR (Overnight Policy Rate) sebanyak 0.25 % ketahap tertinggi mencecah 3.0% adalah satu langkah songsang dalam usaha memulihkan ekonomi negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Zawawi, berkata tindakan ini bakal melatarkan trajektori pertumbuhan ekonomi negara dalam masa terdekat dan pertengahan kerana tindakan ini akan mengurangkan kecairan dalam pasaran.
Beliau berkata, kenaikkan OPR pastinya akan meningkatkan kadar pinjaman di bank tempatan sekaligus menambah beban bayaran bulanan pinjaman perumahan dan sebagainya kepada rakyat.
“Bagi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) pula, bayaran balik pinjaman bank juga akan meningkat dan boleh merencatkan aliran tunai perniagaan. Kita harus faham bahawa kedudukan sebahagian besar perniagaan domestik sekarang tidak begitu kukuh atau robust seperti sebelum pandemik Covid-19.
“Kita sebenarnya masih dalam fasa pemulihan dan apabila tekanan aliran tunai bertambah, saya bimbang banyak MSME akan gulung tikar,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Aidil Fitri, Parlimen Larut di Batu Kurau semalam.
Datuk Farid yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu menambah bahawa beliau hairan kenapa BNM bertindak sedemikian seolah-olah menjadi pak turut kepada Federal Reserve Bank Amerika yang sehari awal menaikkan OPR.

Katanya, Menteri Ekonomi juga tiada berupaya memberikan penjelasan yang baik berkenaan kenaikkan tersebut selain berulang kali mengalih jawapan kepada BNM.
“Persoalannya sekarang siapakah sebenarnya yang memacu ekonomi negara, Kerajaan atau BNM? Sepatut nya Kerajaan dan BNM harus bersepakat dalam membuat keputusan besar sebegini. Jelas Kerajaan yang disebut-sebut sebagai Kerajaan Perpaduan sebenarnya adalah Kerajaan retak (fractured government).
“Kenaikkan OPR bukan sahaja akan mengurangkan kecairan di pasaran, kesan jangka sederhana pula boleh meruntuhkan pasaran hartanah negara kerana turunnya permintaan.
“Ini sebaliknya akan meningkatkan permintaan kepada sewaan rumah sekaligus bakal menaikkan kadar sewa bulanan. Kumpulan yang paling terkesan pastinya B40 yang rata-rata masih menyewa rumah,” jelasnya.

Datuk Farid yang juga merupakan Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu memberikan pandangan bahawa tekanan inflasi sekarang adalah berbeza daripada biasa iaitu kelebihan cairan di pasaran.
Katanya, tekanan inflasi sekarang adalah disebabkan perang Ukraine dan Russia yang merangsang kenaikkan harga minyak dunia apabila sekatan (sanction) dilakukan kepada sumber minyak dan gas daripada Russia.
“Ianya tiada berkaitan langsung kepada tekanan peningkatan permintaan pasaran tempatan. Peningkatan OPR jelas tanpa rasional ekonomi yang jelas atau teliti.
“Kerajaan digesa untuk menurunkan OPR ke tahap yang lebih sesuai demi meningkatkan ekonomi negara. Kita perlukan enjin pertumbuhan ekonomi berjalan dengan lancar dalam tempoh terdekat, kalau ini tidak berlaku maka kesannya nanti adalah resesi ekonomi negara yang bakal menyiksa rakyat untuk satu tempoh yang lebih lama.
“Rakyat sangat terkesan sekarang setelah permintaan pengeluaran KWSP tidak dipersetujui, tetapi janganlah pula Kerajaan menabur garam di atas luka,” katanya.