KOTA BHARU | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya melepaskan sitaan terhadap dua akaun Parti Pribumi BERSATU Malaysia (PPBM) selepas tiada kertas siasatan dibuka.
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia perlu dilepaskan kerana partinya tidak menghadapi sebarang pendakwaan di mahkamah.
“Parti adalah satu entiti yang berbeza dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang didakwa, jadi kenapa pula akaun parti perlu disita? Apa dosa kami?
“Yang kita pelik, parti lain yang ambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, bendera mereka juga tidak kurang daripada bendera Perikatan Nasional (PN), dari mana pula mereka dapat duit sumbangan? Kita juga nak tahu,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas Majlis Sembang Santai Menuju PRN yang diadakan di Hotel Jewel, di sini, hari ini.
Ahmad Faizal berkata, BERSATU amat konsisten dalam kenyataannya dari awal bahawa mereka memang menerima dana namun bukan daripada syarikat judi.
Katanya, kini ternyata dakwaan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak benar sama sekali.
“Alhamdulillah Allah maha berkuasa dan telah tunjukkan kepada seluruh rakyat.
SPRM turut mengatakan bahawa kami tidak menerima sumbangan daripada syarikat judi.
“Jadi sudah jelas. Saya semua pihak berhenti dan tidak perlu bincangkan lagi.
Rakyat tahu ‘siapa’ yang mula menyebut parti kami menerima dana daripada syarikat judi,” katanya.
SPRM sebelum ini membuat sitaan ke atas dua akaun parti BERSATU setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.