Seramai 48 ahli termasuk Ketua UMNO Jalan Palas cawangan Taman Dato’ Hormat di Kuala Langat mengisytiharkan keluar parti dan menyertai PAS sekaligus melumpuhkan cawangan tersebut, lapor Utusan.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata kesemua ahli seumur hidup UMNO itu mengumumkan perkara tersebut malam tadi.
“Mereka menyerahkan borang keahlian PAS diketuai oleh Ketua UMNO Jalan Palas Taman Dato’ Hormat, Nazli Abdul Manap yang juga merupakan Ketua Rukun Tetangga (RT) di kawasan kejiranan tersebut.
“Mereka yang keluar terdiri daripada ahli seumur hidup bagi cawangan yang berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Roslan Shahir, PAS Selangor menjangkakan lebih ramai ahli UMNO akan keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.
“Ini disebabkan mereka kecewa dengan segelintir pemimpin UMNO yang mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangan membela agama, bangsa dan negara selain tidak sanggup menerima perjuangan DAP,” katanya. -Agenda Daily