Kejatuhan teruk indek utama Bursa Malaysia FBM KLCI dalam tempoh enam bulan mencerminkan hilangnya keyakinan pelabur terhadap kerajaan ketika ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tiada arah tuju dalam menguruskan ekonomi negara apatah lagi untuk memulihkannya.
Beliau berkata, Menteri Kewangan (Anwar) dan Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) seperti hilang punca dalam mentadbir ekonomi.
Katanya, selain itu Bank Negara Malaysia pula dilihat mengambil langkah ‘counter intuitive’ seperti menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tanpa menilai asas semasa ekonomi.
“Untuk rekod, indek FBM KLCI berada pada tahap 1501.88 mata pada 24 November tahun lalu, merudum sebanyak 127.24 mata atau 8.47 peratus (%) kepada 1374.64 hari ini.
“Dari sudut nilai pula, anggaran nilai saham tersenarai mengecut sekitar RM 145 billion dalam tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohamed Farid yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, berkata lagi, tidak mustahil sekiranya indek FBM KLCI akan terus merudum ke paras 1,350 iaitu tahap terendah dalam tempoh 5 tahun semenjak 2018.
Ujarnya, inilah sebenarnya kejayaan Kerajaan Madani, iaitu dengan memiskinkan negara dan rakyat dalam rentak pemerintahan penuh retorik tanpa “substance” ataupun fundamental.
“Negara perlukan pemimpin berwibawa, bijaksana, berilmu serta pengalaman ekonomi yang luas, dan yang paling penting seorang pemimpin yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara secara kumulatif, mampan dan lestari. Segala sentuhan kerajaan retorik sekarang tidak menjadi malah membawa musibah kepada rakyat.
“Saat ini, bukan sahaja indek Bursa Malaysia FBM KLCI yang merudum, tetapi nilai matawang Ringgit Malaysia juga merudum. Sedangkan rakyat dibisikkan nada indah bahawa kenaikkan OPR adalah untuk mengukuhkan nilai Ringgit.
“Namun sebaliknya yang berlaku, negara kini seperti jatuh ditimpa tangga, Kerajaan Madani jelas gagal dan hilang arah,” katanya.