Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan penubuhan kerajaan perpaduan didakwa sudah pun dirancang sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tajuddin yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Salak mendedahkan, beliau sendiri terlibat dalam perancangan tersebut dan diminta untuk menandatangani dokumen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Saya pun terlibat, saya dibawa jumpa Anwar, Anthony Loke dan pemimpin Amanah, di rumah seorang kerabat diraja, siapa? Saya tidak boleh beritahu. Saya yang menandatangani untuk Anwar jadi perdana menteri, nak Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) bergabung sama.
“Saya terima untuk bekerjasama tetapi dengan syarat, ‘you have to change’ (DAP perlu berubah). Maksudnya, segala dasar DAP perlu dihentikan. Jangan bantah dan sanggah UMNO serta orang Melayu dan perjuangannya.
“Memanglah sekarang nampak okay, dulu? Guling gelentang di Istana Perak sewaktu nak lantik Datuk Seri Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak, maki Tuanku, maki raja. Ini sejarah yang kita tidak boleh lupa…pijak pula gambar pemimpin Melayu,” katanya, lapor Utusan.
Beliau turut menolak seruan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini yang mahu UMNO melupakan perkara lampau dan terus bergerak ke depan demi kerajaan campuran itu.
“Tak boleh semudah itu. DAP itu bukannya dia punya atau DAP itu memang Anthony Loke yang punya? Berapa ratus ribu ahli DAP? Kita nak tahu keseluruhan DAP supaya buat pendirian tegas seperti yang dinyatakan,” katanya.
Dalam pada itu, orang lama dalam UMNO itu turut senada dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bersetuju dengan desakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menuntut permohonan maaf daripada DAP kerana mengguris hati orang Melayu sebelum ini jika benar ikhlas jika ingin bekerjasama.
“Saya sokong pendirian Akmal dan saya ucapkan tahniah. Patutnya DAP perlu minta maaf kerana telah menghina kita berapa lama? Saya sudah 50 tahun dalam UMNO, saya tahu apa yang Lim Kit Siang buat, Lim Guan Eng maki dan sebagainya.
“Kalau mahukan perubahan, terus teranglah. DAP hari ini jangan perjuangkan konsep Malaysian Malaysia. Boleh? DAP perlu isytiharkan,” katanya lagi. – Agenda Daily