Tan Sri Annuar Musa menamatkan teka-teki berhubung masa depan politiknya apabila mengumumkan menyertai masuk Perikatan Nasional (PN).
Bekas Ahli Parlimen Ketereh dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) membuat pengumuman itu di atas pentas ceramah PN Negeri Sembilan di Senawang malam ini dengan menyifatkan UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat kerana sekadar menjadi tukang sapu kepada DAP.
“Namun realitinya hari ini, UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat, UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat pada masa ini.
“UMNO bukan lagi parti yang mengutamakan perpaduan rakyat, UMNO bukan lagi parti yang nak menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara…ia sudah bertukar menjadi satu parti menjaga kepentingan individu, menjaga kepentingan kelompok dan puak tertentu.
“Sekarang ini mereka sibuk menjaga dan menjadi tukang sapu kepada parti DAP semata-mata,” katanya semasa berucap di Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Senawang.
Pengumuman penyertaan itu terdahulu diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum memberi laluan kepadanya berucap.
Annuar juga menjelaskan keputusan untuk menyertai PN dibuat secara sukarela tanpa paksaan dan mendakwa UMNO kini menjadi parti yang dikawal seorang Presiden yang mengkhianati orang Melayu dan Islam.
“Tidak ada sebab untuk saya menyokong sebuah parti politik (UMNO) yang sedang dikongkong Presidennya (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang telah merosakkan dirinya sendiri.
“Dan yang boleh lebih penting menjadi penderhaka nombor satu kepada perjuangan orang Melayu dan umat Islam dalam negara ini,” katanya lagi.
Annuar dipecat pada Disember 2022 lalu selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bersama-sama turut dipecat ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yassin yang juga isteri bekas Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Zahid khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara UMNO dengan serta Pakatan Harapan (PH). – Agenda Daily