Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim patut merasa malu dengan kematangan kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam melayani semua pemimpin di negeri itu tanpa pilih kasih.
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata Sanusi mengagihkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di Kedah tanpa sebarang syarat.
Justeru kata Khairil Nizam, langkah kerajaan Kedah itu merupakan ‘tamparan’ kepada kerajaan pimpinan Anwar yang masih menyekat peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sehingga hari ini.
“Anwar seharusnya malu dengan keterbukaan yang ditunjukkan oleh Sanusi yang memberi peruntukan tanpa syarat kepada semua ADUN Kedah sebaliknya perdana menteri masih lagi tidak terbuka untuk melakukan perkara yang sama kepada ahli Parlimen pembangkang.
“PAS ingin mengingatkan kerajaan Madani agar jangan sampai ahli-ahli Parlimen ini termasuk ke laporan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) sebagai individu yang tidak mendapat hak asasi mereka sebagai wakil rakyat yang sah dipilih oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini Anwar mengulangi kesediaannya memberi peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang namun ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter yang diluluskan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata Ahli Parlimen pembangkang perlu bersedia untuk berdepan sebarang kebarangkalian, jika enggan berbuat demikian.
Pada 2 Mac lalu, ahli Parlimen kerajaan menegur Anwar berkait soal peruntukan kepada blok pembangkang yang masih disekat di mana Hassan Abdul Karim menggesa kerajaan berlaku adil kepada semua wakil rakyat.
Kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu kerajaan perlu berlaku adil kepada semua ahli Parlimen atau berisiko menjadikan rakyat sebagai mangsa jika peruntukan tidak diagihkan kepada wakil rakyat pembangkang.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kerap mempersoalkan mengenai peruntukan wakil rakyat yang masih belum diterima mereka, berbanding amalan pemberian peruntukan secara adil kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
“Dalam pembentangan Belanjawan Kedah lalu, menteri besar mengumumkan peruntukan untuk Adun pembangkang setahun RM50,000 dan RM2,000 setiap bulan untuk pengurusan pusat khidmat wakil rakyat,” katanya. -Agenda Daily