Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun menjelajah ke semua enam negeri yang terlibat pilihan raya negeri (PRN) melambangkan ketakutan kerajaan terhadap ‘tsunami’ Perikatan Nasional (PN) yang semakin terserlah.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kemenangan PN boleh menggugat kedudukan kerajaan campuran BN-PH selepas PRN nanti.
“Saya yakin landskap politik negara pada masa akan datang berubah jika PN menang semua enam negeri itu dan ia menjadi tuntutan ketidakpercayaan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.
“Inilah yang amat ditakuti oleh kerajaan hari ini. Sebab itulah beliau (Anwar) turun ke semua negeri dan ia memberi petanda kebimbangan serta ketakutan mereka dengan perkembangan yang berlaku ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Kota Bharu, malam tadi.
Dalam program sama, Mohd Amar berkata PN perlu mempertahankan tiga negeri sedia ada iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta menawan tiga lagi negeri yang kini di bawah pentabiran kerajaan iaitu Pulau Pinang, Selangor juga Negeri Sembilan.
Katanya, jika PN hanya mampu mempertahankan negeri sedia ada pada PRN nanti ia akan menjadi simbol kemenangan moral buat kerajaan BN-PH.
Anwar rancak menghadiri program jelajah yang digelar ‘Temu Anwar’ di beberapa buah universiti awam di mana beliau mengadakan siri dialog dengan mahasiswa yang hadir.-Agenda Daily