UMNO dilihat terus menjadi parti penumpang di Selangor jika hanya diberikan kerusi yang sedikit oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu akan mengukuhkan lagi cengkaman Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
“Kalau (UMNO) dapat kerusi sedikit…yang menang adalah PH dan UMNO akan jadi penumpang sahajalah.
“Saya percaya ramai ketua-ketua bahagian bekerja keras siang dan malam tetapi akhirnya terpaksa beri kerusi kepada orang lain,” katanya yang menyifatkan diberi kerusi yang sedikit akan menjatuhkan maruah UMNO sebagai parti tertua di negara ini.
Beliau berkata demikian pada Program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Kelantan, malam tadi.
Sebagai bekas pemimpin parti itu, Noh berpendapat UMNO-BN tidak perlu merasa takut untuk bertembung dengan parti-parti lain dalam kerajaan campuran pada PRN itu.
“Hal ini kerana parti itu pernah melalui situasi tersebut semasa bersama PAS di dalam Muafakat Nasional (MN) suatu ketika dahulu.
“Kalau semasa bersama-sama MN dahulu BN tidak takut bertembung PAS pada PRN Melaka dan Johor, kenapa perlu takut untuk bertembung PH pada PRN kali ini? Jadi biarlah macam dahulu kalau mahu pulihkan balik imej UMNO dan BN,” katanya.
Malah katanya, UMNO dan BN tidak perlu menumpang parti lain jika benar-benar mahu kembali menjadi dominan.
Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN serentak dengan lima negeri lain. – Agenda Daily