Tan Sri Lim Kit Siang pula akan disaman Tan Sri Annuar Musa berhubung kenyataan yang didakwanya mencemarkan “kewibawaannya”.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa pemimpin veteran DAP itu menuduh dirinya sejak menyertai PAS mencontohi sikap Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ia ekoran kritikan keras yang sering dilemparkan terhadap DAP.
“Saya berpegang dengan apa saya kata, dia saman saya, saya berusaha saya akan arah peguam saya saman dia (Kit Siang) sebab dalam Facebook dia kata Annuar Musa sejak masuk PAS perkara pertama dilakukan dia tiru Haji Hadi.
“…kerana dia membuat tuduhan liar dan tak berasas, itu juga cuba mencemarkan kewibawaan saya sebagai orang politik. Maka saya akan mendakwa Kit Siang kerana cuba membuat ‘defamation’ terhadap saya, saya harap dia pertahankan diri,” katanya ketika berucap pada ceramah Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Jempol di Negeri Sembilan.
Annuar turut memaklumkan, beliau telah menerima surat saman dari Kit Siang semalam berhubung dakwaan mengaitkan bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dan DAP dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969.
“Hari ini saya dapat surat saman daripada Kit Siang, saya sampai di Jempol orang rumah ‘call’, dia kata ada surat, Kit Siang saman saya kerana ucapan saya di Bachok.
“Saya kata tak ada masalah saya sudah lama tunggu Kit Siang saman saya, supaya bertemu buku dengan ruas, dia jangan fikir dia boleh buli Annuar Musa,” katanya.
Katanya, bekas menteri itu akan mengemukakan bukti DAP berkempen soal perkauman.
Terdahulu, Kit Siang memutuskan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Annuar kerana mengaitkannya dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Beliau juga akan turut menuntut ganti rugi daripada Annuar kerana terus melemparkan kenyataan sedemikian. – Agenda Daily