Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka menyifatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng melampau apabila menyamakan nasib Pulau Pinang seperti wilayah di China sekiranya PN memerintah.
Ketuanya Penerangannya, Dr Mohd Aleef Yusof berkata kenyataan Guan Eng itu telah meniupkan api perkauman antara orang Melayu dan bukan Melayu.
Malah kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu, kenyataan bekas menteri kewangan kerajaan PH tersebut adalah cubaan menakut-nakutkan orang bukan Melayu dengan dasar PN.
“Perbuatan ini menunjukkan Lim Guan Eng amat terdesak apabila menyaksikan kumpulan besar rakyat yang mula beralih perhatian kepada PN. Bagaimana seorang pemimpin DAP boleh mengeluarkan kenyataan seperti ini?
“Beliaulah yang cuba memecah belahkan rakyat di negara ini dengan memainkan isu perkauman, menakut-nakutkan kaum bukan Melayu bahawa mereka akan ditindas apabila parti didonimasi orang Melayu seperti Perikatan Nasional berkuasa kelak,” katanya, lapor MalaysiaGazette.
Sebelum ini, polis mengesahkan Guan Eng disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas menerima beberapa laporan terhadapnya kerana dipercayai menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) ketika berucap pada program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore – Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.
Portal MalaysiaNow yang menterjemahkan laporan China Press melaporkan Guan Eng berkata ‘gelombang hijau’ akan menyebabkan tokong dirobohkan, namun penyembahan terhadap ‘tuhan dan Buddha’ akan terus dilindungi jika kerajaan semasa Pulau Pinang dikekalkan selepas PRN namun Ahli Parlimen Bagan itu menafikan laporan tersebut.
Mengulas lanjut, Aleef berkata seorang pemimpin tanpa mengira latar belakang sewajarnya bertindak menyatukan rakyat serta berusaha merapatkan jurang perbezaan antara kaum.
Malah pemimpin juga sepatutnya berusaha untuk memupuk sikap toleransi agar rakyatnya dapat menikmati kehidupan lebih harmoni.