Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pemimpin PKR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berhubung kenyataan berbaur perkauman dibuatnya.
ADUN PKR, Mohd Najwan Halimi didakwa menghina seorang calon Pilihan Raya Negeri (PRN) dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan kenyataan ‘parti India estet’ dan sepatutnya tindakan tegas juga diambil terhadapnya.
Gesaan itu dibuat Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid yang berkata, apa diperkatakan pemimpin PKR itu umpama terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Beliau menyuarakan kekecewaan kerana hinaan, makian dan cercaan perkauman semakin menjadi-jadi dalam kalangan orang politik menjelang kempen PRN tidak lama lagi.
“Bahasa melambangkan bangsa. Agama Islam dan agama lain sentiasa mengajar penganutnya untuk menggunakan serta bercakap dalam bahasa yang elok, molek dan merendah diri.
“Ya, (orang) Melayu mempunyai hak keistimewaan dari segi Perlembagaan Persekutuan berbanding kaum-kaum lain tetapi hak kaum-kaum lagi juga dijamin oleh undang-undang tertinggi negara.
“Pejuang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penyataan, sama ada atas pentas ceramah mahupun di media sosial yang berunsur merendahkan martabat serta status mana-mana individu kerana kaum atau agama yang dianuti seseorang itu,” katanya dipetik laporan BH.
Sehubungan itu, Rafique berharap siasatan yang adil perlu dilakukan oleh pihak berkuasa sambil mengharapkan tiada unsur pilih bulu jika membabitkan pimpinan pihak kerajaan.
“Pihak berkuasa juga mestilah berlaku adil dalam mana-mana siasatan dan menumpukan pada fakta-fakta aduan atau kes.
“Janganlah hanya kerana aduan itu dari mereka dalam kerajaan, ia mungkin mendapat kelebihan berbanding aduan terhadap pihak dalam kerajaan,” katanya.
Pemimpin PKR itu menulis ‘parti India estet’ sebagai reaksi balas terhadap laporan berita pengumuman PSM yang mencalonkan aktivis sosial, M Sivaranjani untuk DUN Meru.
Kenyataan tular berpunca daripada tangkap layar komen kumpulan WhatsApp PKR dibuat Mohd Najwan, tersebar di media sosial semalam. – Agenda Daily