Kritikan dan kecaman politik bertali arus terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menunjukkan beliau seorang pemimpin hebat.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Menteri Besar Kedah itu membawa banyak pencapaian dan pembangunan membanggakan di negeri jelapang padi itu hingga sukar ditangkis parti lawan.
“Mereka merasakan Kedah ini sebuah negeri yang mereka kena tunjuk kuat, mereka tidak mahu menerima satu keputusan yang menyedihkan kepada penyokong-penyokong mereka.
“Pada saya YB (Yang Berhormat), Sanusi ini seorang berhemah dan baik tetapi dalam ceramah-ceramah tertentu, mereka serang dia secukup-cukupnya kerana mereka tidak mahu melihat kejayaan Sanusi yang begitu menggalakkan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Makan Malam bersama Ahli Parlimen Larut di Dewan Permai Majlis Daerah Selama dekat Larut, semalam.
Hamzah mengakui taktik menyerang pemimpin tertinggi di peringkat negeri menjelang pilihan raya negeri (PRN) adalah perkara biasa yang dilakukan semua peringkat parti.
Seperti di Selangor katanya, PN turut mengkritik Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Tak salah kerana ini kempen, mereka ‘attack’ pemimpin tertinggi kita di peringkat negeri, kita juga ‘attack’ pemimpin mereka di peringkat negeri,” katanya. – Agenda Daily