Malaysia kini berada dalam tempoh yang getir ke arah pembinaan semula negara.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia susulan cabaran suasana politik yang masih tidak menentu ditambah dengan barisan kepemimpinan yang kakistrokrasi.
“Situasi yang kita hadapi ini, ditambah pula dengan kepimpinan politik negara yang disifatkan sebagai kakistokrasi (dipimpin oleh orang yang teruk atau tidak layak memimpin) memberikan akibat negatif kepada aspek sosial dan ekonomi negara,” katanya pada Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Shah Alam, hari ini.
Muhyiddin berkata kepimpinan negara hari ini tidak mempunyai hala tuju yang jelas serta tidak dapat memberikan penyelesaian kepada masalah dihadapi rakyat.
“Hal ini berlaku kerana tiada agenda ekonomi dan pembangunan negara yang jelas dan meyakinkan untuk meredakan kebimbangan kita semua,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata rakyat kini mengeluh akibat kos sara hidup yang semakin tinggi malah ramai peniaga yang terpaksa gulung tikar.
Beliau turut menggariskan lima cabaran utama yang perlu diberi tumpuan bagi pembinaan semula negara termasuk ketidaktentuan ekonomi yang ketara disebabkan pelbagai faktor termasuk pandemik Covid-19 mengakibatkan gangguan kepada perniagaan, kehilangan pekerjaan, mengurangkan pendapatan merentas sektor berbeza.
Cabaran seterusnya dari segi transformasi digital ke arah memastikan matlamat lebih ramai rakyat celik digital dapat dicapai.
“Sewaktu saya memperkenalkan Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), matlamatnya bukan sekadar untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, malahan memperkukuhkan ekosistem digital dalam negara.
“Kerajaan ketika itu turut menubuhkan Digital National Berhad (DNB) yang bertujuan untuk mempercepatkan pelancaran 5G ke seluruh negara, selain menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga berpatutan kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyebut soal cabaran kadar upah rendah yang dihadapi malah katanya jurang ketidaksepadanan antara kemahiran graduan dan keperluan pasaran kerja semakin ketara apabila mereka terpaksa bersaing dengan tenaga profesional yang kehilangan pekerjaan sejak pandemik melanda.
Cabaran kelima pula melibatkan kekangan dan masalah kewangan yang dihadapi rakyat akibat kenaikan kos sara hidup dan kadar upah yang rendah.
Katanya, kos sara hidup termasuk perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat menyukarkan rakyat untuk berjimat. – Agenda Daily