Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat status Malaysia sebagai negara pelbagai kaum tidak seharuskan dibahaskan.
Tegasnya, fakta itu tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Malaysia adalah negara pelbagai kaum, keturunan dan agama. Itu satu fakta yang tak perlu dibahaskan. Nak dikatakan negara Melayu, itu tak penting bagi saya tapi fakta itu sudah ada.
“Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih atas dasar demokrasi, saya bukan orang Melayu (semata-mata), di kawasan saya ada Cina, ada India jadi kita mesti berlaku adil kepada mereka,” katanya pada Konvensyen Profesional 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dilaporkan berkata Malaysia adalah negara Melayu seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan usaha mempromosikan berbilang bangas itu bertentangan perundangan.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyebut Malaysia sebagai negara berbilang kaum sebaliknya menekankan keMelayuan Malaysia.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan gabungannya itu akan memberi keadilan untuk semua rakyat yang sudah pun dibuktikan dalam pentadbiran di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Persekutuan sebelum ini.
“Saya tak sangka seorang saintis dan profesor boleh mengetuai kerajaan (Merujuk kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar). PAS boleh tadbir Kelantan lebih 30 tahun.
“Tapi sekarang tentang PN memimpin kerajaan, ia adalah kombinasi usaha orang Malaysia dan bersedia bekerjasama, walaupun ada perbezaan latar belakang.
“Rakyat Malaysia tak perlu risau dengan gelombang hijau. Saya tak tahu mana datang gelombang hijau, sekarang gelombang hijau dan biru PN, itu yang nyata,” katanya. – Agenda Daily