Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengambil langkah mengutuskan surat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan kenyataan kontroversinya yang didakwa menjadi kontroversi.
Menteri Besar Kedah memaklumkan pegawai istana Selangor memberitahunya warkah penjelasan sudah diterima Sultan Sharafuddin dan ia bagi menerangkan konteks dan maksud sebenar ucapan yang didakwa sengaja diputarbelitkan.
“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda tuanku sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.
“Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, warkah tersebut tidak akan dikongsi kepada umum demi memelihara kemuliaan Sultan Sharafuddin serta bagi menjaga adat dan adab berurusan dengan istana.
Sementara itu Muhammad Sanusi memaklumkan beliau telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dari Bukit Aman pada pukul 2 pagi semalam.
Keterangan tersebut untuk melengkapkan siasatan terhadap laporan polis yang telah dibuat oleh pelbagai pihak berhubung isu yang sama.
“Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu,” kata Muhammad Sanusi berkias. – Agenda Daily