Berdasar Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dengan Pegawai Kewangan Negeri tiada satu sen pun peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) digunakan untuk tujuan lain di bawah kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN).
Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau
telah menyemak pengurusan MARRIS dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Katanya, hanya terdapat beberapa peratus kekurangan dalam perbelanjaan kerana projek tidak dapat disiapkan, namun peruntukannya tidak digunakan untuk projek lain.
“Tuduhan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail amat berat kepada Kerajaan Negeri Kedah dan saya selaku Menteri Besar.
“Sedangkan Kedah satu-satunya negeri yang berusaha memperbetulkan sistem pengurusan kewangan berkaitan peruntukan MARRIS dengan mewujudkan Tabung Amanah MARRIS dan diselaraskan dengan Akaun Kumpulan Wang Pembangunan Negeri,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Pada kenyataan kepada pemberita Saifuddin dilapor berkata, peruntukan MARRIS untuk Kedah sebanyak RM1.6 bilion turut digunakan kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan, dan ia dianggap menyalahi perlembagaan.
Sanusi berkata, paling banyak peruntukan MARRIS digunakan untuk pembangunan ketika Kedah diterajui kerajaan BN dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Katanya juga peruntukan MARRIS yang berbaki atas kertas ialah RM1 bilion dan bukannya RM1.6 bilion.
“Jumlah itu adalah baki komulatif sejak merdeka lagi, bukan sewaktu saya menjadi MB.
“Hanya ketika negara dilanda Covid-19 pada tahun 2020, nengakibatkan projek penyelenggaraan jalan tidak dapat dilaksanakan.
“Berikutan itu perbelanjaan peruntukan MARRIS tidak dapat mencapai 85 peratus seperti yang disyaratkan Majlis Kewangan Negara. Hal ini turut dialami oleh semua negeri di Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya juga permohonan kelulusan projek tersebut kepada MOF dibaca dan dipetik secara salah oleh Saifuddin.
Oleh itu katanya laporan polis akan dibuat segera bagi menghentikan fitnah jahat kepada Kerajaan Negeri Kedah oleh Saifuddin berkaitan isu tersebut. – HARAKAHDAILY