Bekas Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada penggal ke-15 hari ini.
Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor itu dibuat selepas dicadang oleh Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan disokong Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohammed Fadzli Hassan.
Mohd Amar mengangkat sumpah taat setia sebagai Speaker pada Majlis Menangkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang berlangsung di DUN.
Manakala Adun Kok Lanas Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi dari Bersatu dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Kelantan.
Mohd Amar menggantikan Dato’ Abdullah Yaakob sebagai Speaker manakala Mohamed Farid menggantikan Adun Bukit Panau Dato’ Abdul Fattah Mahmood sebagai Timbalan Speaker.
Sementara itu, Mohd Amar semasa berucap merakamkan penghargaan di atas kepercayaan yang telah diberi kerajaan negeri.
Katanya, beliau akan melaksanakan kewajipan dengan sebaik mungkin sebagai Speaker. – HARAKAHDAILY 5/9/2023