Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berharap mendapat kerjasama padu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membolehkan beliau melaksanakan tugas dengan berkesan.
“Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab ini begitu berat untuk dipikul, insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dengan sokongan semua pihak.
“Saya juga tidak ketinggalan mengucap terima kasih kepada kerajaan negeri, Menteri Besar dan kepada semua ADUN yang memberi kepercayaan kepada saya,” katanya ketika berucap selepas mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Kelantan hari ini.
Beliau mengangkat sumpah menerima jawatan berkenaan di hadapan Setiausaha DUN, Mohd Zaika Yamani Ibrahim.
Sebelum itu, Mohd Amar dipakaikan songkok khas Speaker oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Speaker DUN, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi yang juga ADUN Kok Lanas.
Sementara itu ketika ditemui, Mohd Amar berkata, beliau mengakui tiada pengalaman berkhidmat sebagai Speaker.
Menurut beliau, jawatan yang dipegang sebelum ini jauh berbeza dengan tugas yang baharu disandang sekarang.
“Cuma apa yang dapat saya simpulkan tugas di peringkat kerajaan sebelum ini lebih besar yang menyentuh sebuah negeri berbanding Speaker yang mengurus persidangan DUN secara berkala.
“Sudah tentu bebanan besar yang ditanggung sebelum ini tanggungjawab besar. Jadi saya boleh tumpu kepada DUN dan aktiviti bersama masyarakat,” ujarnya.
Seramai 43 ADUN yang lain turut mengangkat sumpah yang dimulai Menteri Besar, diikuti Timbalan Menteri Besar dan semua ADUN termasuk dua dari parti pembangkang. – HARAKAHDAILY